Pakatan Rakyat Yakin Tawan Sabah, Sarawak Pada PRU- 13

PENANTI 20 Mei - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Pakatan Rakyat yakin meraih kemenangan di Sabah dan Sarawak pada pilihan raya umum ke-13 kelak sekiranya rakyat kedua negeri itu diberi pendedahn secukupnya mengenai peyelewengan dan salahguna kuasa Umno-Barisan Nasional selama hampir 50 tahun memerintah.

Beliau juga menyifatkan kerajaan BN Sarawak tidak banyak membantu orang Melayu-Melanau yang ketinggalan dalam banyak segi.

Menurut beliau lagi kemenangan Pakatan Rakyat dalam pilihan raya kecil P212 Bandar Sibu Ahad lalu bukan saja membuktikan sokongan daripada masyarakat Cina telah bertambah malah sokongan daripada masyarakat Melayu-Melanau juga semakin meningkat.

"Ini membuktikan bahawa sekiranya simpanan tetap sepertimana yang didakwa oleh Umno dan BN yang ada di Sabah dan Sarawak ini berjaya diberi pendedahan sebenar, maka peluang untuk meraih sokongan daripada rakyat di kedua-dua negeri akan memberi ruang kepada Pakatan Rakyat untuk meneruskan agenda mencapai kemenangan dalam pilihan raya umum ke-13 yang akan datang.

"PR bukannya berjuang hanya untuk mencapai kemenangan tetapi adalah untuk menjadi sebuah pemerintah yang bertanggungjawab dan memperjuangkan nasib rakyat negara ini termasuklah masyarakat Iban, Melanau dan sebagainya yang menunjangi kumpulan masyarakat di Sabah dan Sarawak." kata Anwar pada majlis penyampaian sumbangan kepada empat mangsa kebakaran di Kubang Semang, Penanti serta lapan orang pelajar miskin yang berjaya melanjutkan pelajaran ke Institusi Pengajian Tinggi Awam.

Sumbangan turut diberikan kepada Sekolah Agama Nahdatul Islah, Kubang Semang yang memerlukan peruntukan bagi membina sekolah agama bagi kelas fardu ain.

Fakir miskin juga tidak ketinggalan menerima sumbangan yang berupakan wang tunai dan barang keperluan harian daripada Pusat Khidmat ADUN Penanti dan Jawatankuasa Kariah Masjid Kubang Semang.

Turut hadir dalam majlis penyampaian sumbangan tersebut ialah Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Mansor Othman.

0 Response to "Pakatan Rakyat Yakin Tawan Sabah, Sarawak Pada PRU- 13"

Catat Ulasan