KENINGAU: Pengerusi JKKK Kg. Linsudan, Saidi Ekang, menyuarakan kekecewaannya atas penjelasan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Tan Sri Joseph Pairin Kitingan mengenai pertambahan elaun bulanan Pengerusi JKKK sebanyak RM 800 dalam bajet tahun depan itu, hanyalah untuk Pengerusi JKKK di peringkat Persekutuan.
Pertambahan elaun yang tidak melibatkan para pemimpin masyarakat di peringkat Negeri itu dinyatakan dalam ucapan pengulungan Tan Sri Josepk Pairin Kitingan di Perhimpunan Agung PBS pada Khamis lalu, yang di siarkan dalam akhbar tempatan bertarikh 12 November 2010.
Saidi mempersoalkan tindakan pihak kerajaan mengumumkan kenaikan elaun hampir seratus peratus kepada para pemimpin masyarakat di peringkat Persekutuan dan menafikan keistimewaan yang sama bagi para pemimpin masyarakat di peringkat Negeri khususnya di Sabah.
“ Elaun berkenaan yang diumumkan dalam bajet itu sepatutnya dinikmati oleh semua para pemimpin masyarakat di seluruh Malaysia dan bukan kawasan terpilih, perkara ini pasti menjadi isu dan akan mengundang persepsi yang negatif kepada lebih 3,000 pengerusi JKKK di seluruh Negeri Sabah, kata Saidi.
“Apakah peranan pengerusi JKKK lebih besar di peringkat Persekutuan yang dilihat kawasan yang sudah lebih maju berbanding peranan pengerusi JKKK di kawasan luar bandar di Negeri Sabah, yang hanya dibayar elaun RM200 sebulan, kenapa tidak di selaraskan”. Soalnya.
Beliau yang juga seorang graduan daripada Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dalam bidang Pengurusan Perniagaan Kejuruteraan berkata, umum maklum bahawa keadaan hidup masyarakat di kawasan luar bandar masih ketinggalan jauh dalam arus pembangunan sosio ekonomi maka peranan ini lah tugas yang terpaksa di galas oleh para pemimpin masyarakat di Sabah.
“Bukan saja memikirkan soal kemajuan kawasan masing-masing tetapi Pengerusi-Pengerusi berkenaan akan diberi tanggung jawab lebih besar iaitu memujuk anak-anak buahnya supaya sentiasa menyokong pihak kerajaan pada setiap kali pilihanraya diadakan,” tambahnya.
Beliau bersama semua Pengerusi-pengerusi JKKK di kawasan Pedalaman Keningau merayu kepada pimpinan kerajaan Negeri Sabah khususnya Ahli Parlimen Keningau Tan Seri Joseph Pairin Kitingan supaya mengusulkan isu ini di dalam persidangan Parlimen yang sedang bersidang sehingga Disember ini.
“Gagasan 1Malaysia yang telah diilhamkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak haruslah direalisasikan melalui penyelarasan pembayaran elaun para pemimpin masyarakat di seluruh Negara”, tambahnya.
Katanya, bermula Januari tahun depan jurang bayaran elaun RM800 bagi Pengerusi JKKK di peringkat Persekutuan dan hanya RM 200 untuk Pengerusi JKKK di peringkat Negeri adalah sangat jauh berbeza.
0 Response to "Elaun JKKK Semenanjung dan Sabah perlu diselaras, kata Saidi"
Catat Ulasan